Monday, March 2, 2015

Lawatan ke Gua Madai, Kunak, Sabah. (Bahagian 1)


Pada 28 Februari yang lalu, unit PISMP Sejarah telah membuat lawatan sambil belajar ke Gua Madai dengan diiringi oleh 7 orang pensyarah IPG Kampus Tawau. Lawatan ini dianjurkan oleh Dr Najamuddin Haji Bachora, pensyarah bagi kursus Sejarah Lisan dan Pendokumentasian. Melalui lawatan sambil belajar ini, para guru pelatih unit PISMP Sejarah dapat mengaplikasikan teori mengenai sejarah lisan dan pendokumentasian yang telah dipelajari di dalam kuliah-kuliah terdahulu.

    Selain itu, lawatan ini bertujuan untuk memperkenalkan kepada pelajar PISMP Sejarah dengan lokasi setempat yang mempunyai nilai sejarah serta mendedahkan kepada sumber pertama berkaitan kajian sejarah. Bersesuaian dengan kursus Sejarah Lisan dan Pendokumentasian, para guru pelatih diberikan tugasan untuk mencari sejarah mengenai Gua Madai dan sejarah pemungutan sarang burung di Gua Madai dan merekodkan dapatan yang diperolehi. Para guru pelatih seramai 16 orang telah dibahagikan kepada dua kumpulan untuk mendapatkan maklumat bagi tugasan yang diberi. 

    Para guru pelatih telah menemubual penduduk tempatan bagi mendapatkan maklumat yang diingini selain daripada aktiviti menjelajah gua yang diketuai oleh pegawai PERHILITAN yang bertugas di Stesen Hidupan Liar Gua Madai, Kunak. Aktiviti menjelajah gua turut diiringi oleh dua orang penduduk tempatan yang sudah mahir mengenai selok-belok gua tersebut.

        Seawal jam 7.00 pagi, semua pelajar unit PISMP Sejarah dan para pensyarah telah berkumpul di kafeteria IPG Kampus Tawau. Dr Najamuddin telah memberikan taklimat ringkas mengenai aktiviti dan tentatif lawatan pada hari tersebut sebelum memulakan perjalanan. Bacaan doa telah diketuai oleh salah seorang pelajar PISMP Sejarah bagi memohon keberkatan dan kelancaran perjalanan lawatan pada hari tersebut.

        Sebanyak 4 buah kereta pensyarah telah digunakan untuk membawa semua ahli rombongan ke Gua Madai. Perjalanan dimulakan lebih kurang pukul 7.30 pagi dan semua ahli rombongan tiba di Stesen Hidupan Liar Gua Madai, Kunak pada pukul 8.50 pagi. Setibanya di sana, kami disambut oleh encik Zul Ahsan, pegawai yang bertugas di stesen tersebut. Beliau telah memberikan taklimat ringkas mengenai geografi serta kegiatan pemungutan sarang burung di gua tersebut. 

        Kami berjalan kaki sebanyak 1 kilometer dari stesen tersebut ke pintu gua Madai. Petempatan penduduk adalah lebih padat di kawasan pintu gua berbanding di kawasan yang lain. Kami memulakan penjelajahan gua Madai sambil diiringi oleh encik Zul Ahsan dan beberapa penduduk tempatan. Di dalam gua kami turut menjumpai keranda-keranda lama tinggalan masyarakat yang pernah menduduki gua tersebut. (Maklumat yang selebihnya akan dipaparkan setelah transkrip temubual telah selesai didokumentasikan.)

       Sesi temubual dengan penduduk tempatan dijalankan setelah kami selesai menjelajah gua tersebut. Pegawai PERHILITAN telah membawa kami untuk bertemu dengan salah seorang penduduk asal di kawasan tersebut. Sesi temubual berlangsung hampir 1 jam dengan pelbagai maklumat mengenai sejarah gua Madai serta kegiatan pemungutan sarang burung kami perolehi sekaligus.

            Lawatan sambil belajar ini diakhiri dengan kunjungan ke Pekan Kunak untuk mengisi perut yang lapar. Ahli rombongan tiba dengan selamat di IPG Kampus Tawau lebih kurang pukul 1.30 petang.

Berikut merupakan gambar-gambar sepanjang lawatan sambil belajar ke Gua Madai, Kunak :


Ahli rombongan bertemu di kafeteria dan menerima taklimat ringkas daripada Dr Najamuddin.







Dr Najamuddin Haji Bachora



Ahli rombongan mendengar taklimat ringkas daripada Encik Zul Ahsan, pegawai di Stesen Hidupan Liar Gua Madai, Kunak.




Perjalanan ke Gua Madai bermula.













Ahli rombongan tiba di petempatan penduduk yang terletak di pintu Gua Madai.







Salah sebuah keranda yang terdapat di dalam Gua Madai.

















         

          
        


No comments:

Post a Comment